KECEDERAAN SUKAN LUTUT BERBUNYI ‘POP’!
Oleh : SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
DENGAN adanya penekanan kepada sukan dan aktiviti lasak atau ekstrem, terdapat peningkatan dalam insiden kecederaan yang berkait rapat dengan sukan, baik bagi pemain profesional mahupun yang bermain secara sosial.
Kita dapat lihat padang bola sepak, lapangan futsal, taman ekstrem dan gelanggang- gelanggang tertutup bagi permainan badminton, bola keranjang, sepaktakraw dan sebagainya yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Maka tidak hairanlah terdapat peningkatan dengan jumlah kecederaan sukan. Tidak hairanlah kebanyakan pesakit adalah terdiri daripada golongan muda, namun golongan yang lebih tua tetapi aktif bersukan tidak terkecuali dari kecederaan ini.
Terdapat beberapa ligamen yang penting di dalam dan luar lutut seseorang yang diklasifikasikan kepada penstabil lutut statik dan penstabil lutut dinamik.
Ini termasuklah ligamen krusiat anterior/ depan (ACL), ligamen krusiat posterior (PCL), ligamen kolateral lateral (LCL), ligamen kolateral medial/tengah (MCL), kompleks lateral posterior (PLC) dan meniskus lateral dan medial yang mana semuanya dikategorikan sebagai penstabil lutut statik.
Penstabil lutut dinamik adalah otot-otot yang terdapat di sekeliling lutut yang turut berfungsi sebagai penstabil lutut.
Terdapat banyak struktur di dalam lutut boleh mengalami kecederaan dan kerosakan tetapi artikel kali ini akan ditumpukan kepada kecederaan pada ACL sahaja yang paling kerap dialami oleh mereka yang akrif bersukan.
Menurut Pakar Perunding Ortopedik/Trauma, Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar, ACL merupakan salah satu ligamen yang terdapat di dalam sendi lutut setiap individu.
Ligamen pula adalah tisu tegar yang berfungsi sebagai penstabil kepada sendi-sendi di dalam badan kita.
Persoalannya sekarang, dengan wujudnya banyak penstabil lutut, apakah kecederaan pada ACL seseorang itu perlu dirawati?
"Ya, kerana fungsi ACL sebagai penstabil yang spesifik dan unik untuk mengekalkan kedudukan sendi lutut itu sendiri agar tidak longgar pada posisi-posisi tertentu.
"ACL menstabilkan lutut untuk mendaki bukit atau menaiki tangga dan menjadi penstabil untuk putaran lutut dan juga aktiviti larian mahupun pemain bola sepak menukar arah larian ketika berlari (cutting).
"Oleh itu bagi mereka yang mengalami kecederaan ACL pasti mengalami simptom-simptom di atas selain rasa sakit pada lutut tersebut," ujar beliau.
Bagaimana kecederaan ACL boleh berlaku?
Menurut Dr. Khaizatul Ezam, kecederaan ACL berlaku disebabkan oleh kecederaan pada lutut seseorang sewaktu aktiviti sukan, lazimnya secara non-contact.
"Mekanismenya adalah – berhenti mengejut sewaktu larian deras dan menukar arah secara tiba- tiba. Ini dapat dilihat terutamanya pada sukan-sukan yang melibatkan larian dan putaran berlebihan pada lutut seperti dalam permainan bola sepak, futsal, ragbi, bola keranjang dan bola jaring atau digelecek dengan agak keras sewaktu bermain.
"Mekanisme kecederaan ACL dalam sukan melibatkan lompatan pula – sewaktu mendarat, lutut berputar ke arah dalam dengan kaki tetap di atas gelanggang dan ini akan menegangkan ACL dan menyebabkan kecederaan, ia putus atau terkoyak," katanya.
Akan tetapi terdapat juga pesakit-pesakit kecederaan ACL yang disebabkan oleh aktiviti sukan yang lain dan ada juga yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya yang melibatkan mekanisme kecederaan yang sama seperti kecederaan sewaktu bersukan.
Contoh lain yang lebih jelas adalah dalam sukan rabgi atau American football yang mana seseorang pemain digelecek pemain lawan dengan diasak lutut dari sebelah kiri atau kanan pemain tersebut.
Lelaki atau perempuan?
Kajian ada menunjukkan bahawa perempuan adalah lebih berisiko untuk mendapat kecederaan ACL berbanding lelaki atas sebab-sebab tertentu. Terdapat perbezaan bentuk anatomi tulang dan sendi wanita dan lelaki dan perbezaan juga dalam kekuatan ligamen dan otot, koordinasi dan kontraksi otot.
Perbezaan hormon juga dilihat sebagai salah satu sebab ligamen ACL seseorang atlet wanita lebih berisiko untuk tercedera. Oleh itu, teknik-teknik latihan yang rapi dan intensif dapat mengurangkan insiden kecederaan ACL ini.
Namun ini tidak bermakna atlet lelaki akan terlepas dari kecederaan ACL kerana jenis sukan bagi atlet lelaki juga lebih mendedahkan mereka kepada kecederaan di atas berbanding dengan jenis sukan atlet wanita.
Tanda-tanda kecederaan ACL
"Tanda-tanda seseorang mengalami kecederaan ACL adalah selalunya akan kedengaran bunyi seperti letupan atau meletus pada lutut atau bunyi ‘pop’ dari lutut yang berkenaan. Seterusnya akan terasa kesakitan yang amat sangat dan lutut akan membengkak dengan agak mendadak.
"Pemain selalunya akan tidak dapat meneruskan permainannya walaupun cuba memaksa dirinya untuk bermain semula pada waktu itu. Pada jangka masa tertentu, pesakit akan berasa kesakitan dan ia mungkin akan berkurangan dan bila digunakan semula kaki untuk berjalan atau berlari akan terasa lutut dalam keadaan longgar seolah-olah seperti akan tercabut," jelasnya. Selain itu, akan kelihatan otot di kawasan atas lutut dan paha mengecil berbanding lutut yang normal dan ini dianggarkan berlaku dalam tempoh seminggu selepas kecederaan.
Tambah Dr. Khaizatul Ezam, tanda-tanda yang memerlukan pembedahan segera adalah lutut terkunci yang mana lutut tidak dapat digerakkan sama ada untuk diluruskan atau dibengkokkan, terasa seolah-olah tersangkut.
Tanda-tanda lain termasuklah lutut terasa longgar seperti akan tercabut, kesukaran membengkok atau meluruskan lutut sepenuhnya, kesakitan yang berkala dan ketidakselesaan pada lutut.
Apakah kecederaan lain boleh berlaku akibat kecederaan ACL?
Disebabkan terdapat struktur- struktur lain di dalam lutut seperti yang disebutkan di atas, organ-organ lain juga mungkin akan terjejas bergantung kepada kekuatan kecederaan yang dialami.
Dengan adanya kecederaan-kecederaan lain bersama-sama ACL, akan menentukan prognosis atau kecepatan pemulihan seseorang itu. Melalui pemeriksaan klinikal oleh pakar ortopedik, akan dapat ditentukan tahap kecederaan ACL dan kecederaan-kecederaan sampingan.
Selalunya kecederaan ACL berkait rapat dengan kecederaan meniskus iaitu pelapik yang terdapat di dalam sendi lutut dan dalam kes yang teruk melibatkan juga kecederaan ligamen-ligamen lain.
Cara mengelakkan kecederaan ACL sewaktu bersukan
Dr. Khaizatul Ezam memberitahu: ‘‘Secara asasnya mengelakkan diri daripada tercedera dalam aktiviti sukan melibatkan disiplin sebelum, semasa dan selepas permainan.
"Keadaan otot yang kuat dan sesi meregangkan otot sebelum bermain adalah sangat penting bagi menjamin kekuatan otot sepanjang permainan. Sewaktu permainan pula, keadaan-keadaan menggelecek (tackle) yang keras haruslah dielakkan sama sekali kerana yang menggelecek dan yang digelecek juga bakal tercedera sama.
"Latihan yang rapi juga adalah sangat penting, mempelajari teknik-teknik yang betul untuk melompat dan mendarat dapat mengelakkan dari kecederaan ligamen krusiat. Sesi cooling down juga adalah penting bagi memastikan perjalanan darah dan oksigen mengalir ke otot-otot dan menyalirkan keluar asid-asid laktik yang terhasil sewaktu bermain."
Akan tetapi secara keseluruhannya terdapat juga insiden- insiden yang tidak dapat dielakkan atau tidak disengajakan dan ini akan mengundang kecederaan pada ACL.
BOLEHKAH ACL yang putus atau koyak sembuh sendiri?
ACL yang mengalami kecederaan tidak boleh sembuh dengan sendirinya atas sebab-sebab tersebut di bawah:
1) Bendalir sinovial di dalam lutut yang sentiasa mengalir di dalam lutut akan menyebabkan sel-sel penyembuh dialirkan keluar dari kawasan terputusnya ACL tersebut dan ini menghalang penyembuhan ACL
2) Keadaan ACL yang terkoyak atau terputus selalunya berada pada jarak yang jauh antara satu sama lain dan ini menyukarkan penyambungan semula jadi ligamen ACL tersebut
3) ACL yang putus/koyak akan berada di luar selaput sinoviumnya dan ini menyukarkan pemulihan secara semula jadi.
Perlukah saya menjalani sinar-X atau MRI?
Ujian sinar-X adalah perlu untuk memastikan tiada keretakan atau kepatahan kepada tulang di sekitar lutut. Ia juga berupaya memberikan gambaran tentang kemungkinan kecederaan rawan.
Selalunya bagi kecederaan ACL, sinar-X akan kelihatan normal selain terdapat gambaran pembengkakan pada lutut. Bagi ujian MRI (pengimejan resonans magnetik) pula, adalah tidak mandatori dilakukan kerana diagnosis kecederaan ACL boleh diperoleh secara pemeriksaan klinikal.
Hanya bagi kes-kes yang kurang pasti kerana kesukaran pemeriksaan (kesakitan amat sangat) atau terdapat kecederaan-kecederaan lain seperti kecederaan meniskus akan dapat dilihat dengan jelas melalui pemeriksaan MRI.
Rawatan
* Peringkat awal : Bagi pemain yang disyaki mengalami kecederaan ACL, hendaklah dikeluarkan segera dari permainan dan tuaman ais digunakan ke atas lutut yang cedera dan bahagian kaki ditinggikan untuk mengurangkan bengkak yang berterusan.
Balutan sementara boleh digunakan dan tidak terlalu ketat dan anduh atau tongkat boleh digunakan bagi memudahkan pesakit berjalan semula.
Sekiranya bengkak keterlaluan, pembedahan kecil mengeluarkan cecair/darah dari lutut adalah perlu untuk mengurangkan kesakitan dan kerosakan berterusan kepada lutut berkenaan, selain memperbaiki pergerakan lutut.
* Peringkat pertengahan : Penggunaan ais boleh diteruskan dalam sela masa yang sesuai dan pendakap lutut boleh digunakan bagi memberikan kestabilan sementara kepada lutut. Penggunaan ais dan pendakap adalah sekurang-kurangnya selama enam minggu.
Dalam masa yang sama otot-otot paha hendaklah dikuatkan melalui fisioterapi dan julat pergerakan lutut diperbaiki untuk mengelakkan ketegangan pada lutut.
* Peringkat lanjutan : Pembedahan rekonstruksi ligamen ACL secara artroskopik menggunakan ligamen autocantuman/autograft (Arthroscopic ACL Reconstruction). Pembedahan ini lazimnya akan memakan masa satu hingga satu setengah jam melibatkan rekonstruksi atau pembinaan semula gantian kepada ACL menggunakan ligamen autograft atau ligamen lain sekitar lutut pesakit.
Ligamen-ligamen yang paling lazim digunakan adalah ligamen patela (tempurung lutut) bersama-sama tulang atau ligamen hamstring (otot belakang paha) tanpa tulang. Rekonstruksi boleh dilakukan secara satu urat atau dua urat dan kesesuaiannya adalah bergantung kepada tahap kecederaan pesakit dan faktor-faktor tertentu.
Banyak penyebabnya. Haa kau dulu bersukan tak ingat dunia. Sekarang....baru dapat akibatnya...tapi harapnya tidaklah serius. Hanya mati dan tua tiada ubat.
dipetik dari http://sakitsendi2u.blogspot.com
Kalau anda mempunyai simptom sakit lutut/sendi atau bengkak, kebas cuba dapatkan minyak DABUS aromaterapi. Sapu di bahagian yang sakit 3-5 kali sehari. Sakit anda akan beransur kurang selepas 2-3 hari.
ReplyDelete